Kematian Mak Lang Aishah isteri Ismail Abdullah.

Walaupun Allahyarhamah Mak Lang Aishah bukan warga Kampung Guar Kepayang namun ramai kaum kerabat Ismail Abdullah atau lebih mesra dipanggil 'Pak Lang Ei' terasa sedih dengan pemergianya kelmarin setelah dimasukan ke wad di Hospital Kepala Batas selepas pengsan di rumah anak perempuanya Zainab yang tinggal di Pongsu Seribu.

Menurut Ismail, isterinya memang sakit dan sering keluar masuk hospital ekoran berpenyakit penat dan kadang-kadang terpaksa berangkat ke hospital pada sebelah tengah malah kerana tidak tahan melihat penderitaan penyakitnya.

Sebelum ini Allahyarhamah tinggal sementara di rumah adiknya, Mak Dah Rodiah yang terkenal dengan jurumasak kuah mee dan nasi daging sedap di selatan Kampung Guar Kepayang.  Allahyarhamah nampak sihat sahaja tetapi apakah daya masanya telah tiba siapa pun tidak boleh menghalangnya..

Hari ini Selasa 27hb, Oktober 2009 jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Tuan Samad Permatang Sungai Dua jam 10.30 pagi.

Bagi pihak Ismail, beliau mengucapkan jutaan terima kasih pada semua jemaah dan orang ramai yang telah membantu menyemadikan serta datang menziarahi janazah isterinya.  

Al-Fatihah semoga rohnya ditempatkan bersama-sama golongan orang beriman dan beramal soleh.
Amin.....

Antara aset yang ada pada Kampung Guar Kepayang

       


        
                                     



 Oleh: Tuba

 Bercakap fasal usahawan atau koperasi, Kampung Guar Kepayang antara pengerak awal ke arah itu apabila projek traktor hasil usaha Penghulu, Allahyarham Haji Hasan Haji Samad serta bantuan oleh
Allahyarham Haji Ahmad Haji Awang dipekenalkan

Projek yang dilaksanakan di awal tahun 1960 an itu dikendalikan oleh Allahyarham Haji Abdul Aziz Mustaffa..  Waktu itu ada dua buah yang berpengkalan di hadapan surau dekat rumah pengawal kampung, di bawah rimbunan pokok keriang, hutan mengkuang dan bersebelahan taliair atau orang kampung panggil 'ban'.

Ada tiga orang drebar yang berjasa iaitu Haji Husin Abdul Rashid, Haji Sadi Hashim dan Allahyarham Haji Abdul Aziz sendiri.  Mereka mengerjakan sawah sekitar kampung sehingga ke Permatang Kerai semuanya hampir 100 relong.  

Menurut Haji Said, bukan itu sahaja malahan ketiga-tiganya pernah bertugas sehingga ke Sedim, Tualang di Kedah, Sungai Petai, Perak.dan Batu Maung, Pulau Pinang.

Semua drebar tinggal di situ sehingga selesai kerja baru semuanya balik ke kampung sambil membawa upah yang dibahagikan di samping lebihan kos minyak dan baikinya barulah dimasukan ke dalam tabung koperasi.

 Pada mulanya tambah beliau, ramai penduduk mengambil langkah drastik menyertainya tetapi bila ada seorang dua yang 'cucuk' sana sini maka ramai pula yang melangkah keluar.  Yang tinggal beberapa kerat sahaja sehinggalah keputusan diambil untuk menjual traktor berkenaan.

 Itu kisah dulu, sekarang ini atas rasa inisiatif beberapa individu seperti Haji Bakar Mohamad, Mutalib Hamid dan dua tiga orang lagi akhirnya traktor kembali wujud di kampung ini,  Dua buab traktor dibeli pada awal tahun 2000 lalu.

Ianya tidaklah bekerja macam dulu sampai jauh meninggalkan kampung cuma puluhan petak sawah sahaja kerana ada di kalangan penduduk yang mempunyai traktor atau kobota sendiri.

Walaupun drebarnya salih berganti pada mulanya Abdul Halim Hamid, Firdaus Arshad, Mohamad Rafat, Tarmizi Ahmad dan sekarang bendaharinya sendiri, Mutalib Abdul Hamid terpaksa pula mengalas tanggungjawab setelah tiada siapa sanggup melaksanakan amanah tersebut.di musim ini.

 Apa pun semua orang kena 'tabik' pada Mohamad Abdul Rahaman kerana dari mula traktor ini dibeli beliau merupakan drebar berhati jitu sanggup bersusah payah kadang-kadang membaiki sendiri atau terpaksa berlumpur hingga ke kepala bila traktor itu 'lekat' dalam petak sawah yang dalam.




Sekitar Jamuan Aidil Fitri PASTI Nurul Iman Kg Guar Kepayang










Alahai.... tanpa diduga orang begitu ramai hadir ke sambutan Aidil Fitri anjuran Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nurul Iman, Kg Guar Kepayang.  Walaupun pada 20hb, Oktober 2009 bukan lagi bulan Syawal tapi tak jadi soal yang penting usahasama tetap utuh demi kesinambungan ukhwah.

Mulanya penganjur kecut perut juga dibuatnya bilamana turun dari surau tak sangka ibubapa pelajar PASTI dan orang kampung datang untuk meraikan majlis berkenaan.

Tapi semuanya syukur kerana sangkaan makanan tidak mengcukupi tidak mengena sebaliknya berlebihan. Tak mengapa lepas itu kita bungkus dan dibahagikan pada mereka yang mahu untuk dibawa pulang.

Saat paling penting iaitu Pelancaran Blog Kampung Guar Kepayang juga selamat dilancarkan oleh Pengerusi Surau, Cikgu Saad Haji Ahmad disaksikan bersama oleh Adun Permatang Pasir, YB Ust Saleh Man dan Pengerusi Sekolah Agama Tarbiyatul Bani Nawal Banat, Ust Saleh Zainudin.

Maka, lepas ini tentulah tugasan kami krew yang terdiri daripada Tuba, Pacik, M.D Ris, Ejat dan Dzun sebagai jurugambar rasmi blog akan bertungkus lumus membawa pembaharuan terhadap kampung ini
ke arena global selari dengan alam maya era Teknologi Maklumat (ICT).

Insya Allah krew maiguarkepayang akan memastikan blog ini terus aktif dari masa ke semasa sebagai bahan renungan dan bacaan penduduk kampung mahupun mereka yang berada di luar kerana kerja atau berhijrah..

Rasmiya blog 'maiguarkepayang.blogspot.com'


Kini semuanya telah selesai.  Itulah antara yang diperkatakan oleh Pengerusi Surau Kg Guar Kepayang, Saad Haji Ahmad pada Adun Permatang Pasir, Ust Saleh Man dan Pengerusi Sekolah Agama Tarbiyatul Bani Nawal Banat, Ust Saleh Zainudin,

Program perasmian itu dilakukan sempena sambutan Aidil Fitri anjuran Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)
Nurul Iman pada hari Selasa 20hb, Oktober 2009 lalu.

Kunjungan orang yang begitu ramai sungguh mengembirakan pihaka penganjur dan Insya Allah akan mengadakan lagi majlis yang sama pada tahun hadapan.

SUATU HARI DI HARI RAYA

Salam...bulan Syawal menghampiri penghujung, bagi mereka yang belum melengkapkan 'puasa enam', peluang untuk melengkapkan amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah dengan ganjaran pahala seperti puasa setahun (selepas melengkapkan puasa Ramadhan), anda masih berpeluang dalam tempoh sehari dua ini.

Sementara itu mari kita saksikan kembali detik-detik di pagi 1 Syawal apabila penduduk Guar Kepayang menghadirkan diri beramai-ramai di dataran surau bagi sama-sama menunaikan Solat Aidilfitri. Semoga amalan puasa Ramadhan kita untuk tahun ini diberkati oleh Allah SWT.





SEJARAH KAMPUNG GUAR KEPAYANG, KEPALA BATAS

Pak Ngah Ad ataupun Hj.Saad adalah diantara orang
lama dan berpengalaman di dlm Kg.Guar Kepayang.Foto ini
dirakam ketika beliau ditemuramah oleh Blogger di rumahnya.






Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas, Seberang Perai merupakan saudara kembar pada Guar Kepayang, Pendang, Kedah kerana banyak fakta dan cerita orang veteran semasa di wawancara mengiakanya.
Kedatangan pengasas kampung yang dulunya dikenali sebagai kampung 'tahi' di kalangan orang luar ekoran keadaanya yang terlalu becak berpunca dari lari daripada terlibat dengan perang 'musuh bisik' antara Kedah dan Thailand yang ketika itu dikenali sebagai 'Siam'.
Perpindahan dengan dada yang penuh ilmu agama akhirnya membawa seribu keberkatan bagi kampung ini apabila ramai orang luar terpaksa menjadikan jalan becak sebagai titian menjejaki ilmu Islam daripada beberapa orang pengasas.
Nama seperti Allahyarham Pak Lang Mohamad yang mempunyai tiga anak iaitu Wa Tapa, Pak Cik Nordin dan Mak Dak Tam adalah tokoh yang disegani kerana mempunyai ilmu agama yang tinggi.
Ramai yang datang mempelajari ilmu daripadanya sehingga melahirkan ramai lagi pengajar agama serta pembukaan sekolah agama terawal berbanding kawasan sekitar. Di Permatang Sungai Dua hanya ada pondok iaitu berdekatan masjid dan bersebelahan rumah Ustaz Moin.
Dulunya laluan utama ialah di Jalan Kampung Tok Oh kerana jalan sekarang terlalu kecil tetapi bila mambangunya surau dan Sekolah Arab barulah jalan utama sekarang dibina.
Selain Pak Lang Mohamad, Haji Salleh, Tok Min dan beberapa tokoh lagi adalah penyumbang utama pembangunan kawasan yang subuh dengan kegiatan bercucuk tanam.
Untuk makluman generasi muda, dulunya kampung ini turut didiami oleh tiga keluarga berbangsa tionghua iaitu di jalan Kampung Tok Oh, tapak rumah Allaahyarham Yaacob dan berdekatan rumah Allahyarham Pak Lang Daud.
Semuanya, menjalankan perniagaan mengisar padi. Orang melayu ramai pergi mengisar padi
di situ untuk dijadikan beras sebagai bahan keperluan asasi.
Sekolah Arab Tarbiyatul Bani Nawal Banat dibuka oleh tokoh, Haji Saad yang berasal dari Guar Perahu pada tahun 1944 setelah berkahwin dengan anak Mak Dak Tam.
Ramai tokoh seperti bekas Imam Masjid Permatang Sungai Dua, Pak Su Haji Ahmad, petugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) , Osman Fauzi, Hasan Tok Mail dan lainya antara pelajar mula di sini.
Sekalung penghargaan seharunya diberikan kepada dua tenaga pengajar yang bertungkus lumus iaitu Ustaz Haji Saad dan Ahmad Nisan dari Permatang Tok Gelam. Hasil didikan itu Sekolah Arab sering mendapat pujian kerana sering mengadakan 'Majlis Istifal' untuk mengcugkil bakal pelajar serta membuktikan pada masyarakat betapa pentingnya pendidikan agama untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
Pengorbanan yang ditaburkan, hasilnya kini Kampung Guar Kepayang membangun dengan baik dari segi pembangunan pertanian, kerja gotong royong, pengajian agama serta berjaya mengadakan kelompok traktor hasil penerangan kesedaran oleh seorang tokoh Penghulu berkarisma, Allahyarham Haji Hasan Haji Samad.
Sampai kini Kampung Guar Kapayang terus maju dengan infrastruktur baru yang lebih baik sesuai dengan peredaran zaman.
Rumah dulunya hanya 50 buah kini menjangkau 160 buah rumah dengan isi keluarga yang ramai tetap bersatu padu melalui semangat gotong royong umpamanya kenduri kendara, kematian serta lainya.
Keeratan antara satu sama lain membuktikan perkampungan yang dulunya digelar 'Kampung Tahi' kini ternyata menempa kemajuan demi kemajuan walaupun kadang kala kemajuan yang dikecapi tersisih ekoran mainan politik yang tidak bertanggungjawab.
Sesiapa yang pernah menjejaki kaki ke Kampung Guar Kepayang di awal 80 an pastinya terasa kelainan kini setelah berlaku pertambahan dan pembesaran rumah penduduk yang dulunya bekerja di sawah.
Bukan itu sahaja bahkan berlaku kelainan apabila perubahan sistem pendidikan serta infrastruktur pembangunan asasi.

ABANG LI DITIMPA MUSIBAH

Krew 'Maiguarkepayang.blogspot.com' berharap keluarga Ramli Saad atau lebih dikenali sebagai Abang Li' yang tinggal beberapa meter daripada surau Guar Kepayang kerana mengalami musibah penyakit jantung dan terpaksa dipotong kedua-dua belah kakinya ekoran tidak berfungi dengan baik setelah menjalani pembedahan jantung baru-baru ini.

Semalam kakinya yang berwarna biru kehitaman dipotong dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Permatang Sungai Dua.

Petang kelmarin juga ramai rakan taulanya dari Kampung Guar Kepayang pergi meniarahi di Hospital Besar Pulau Pinang.

JEMPUTAN KE PROGRAM JAMUAN AIDIL FITRI PASTI NURUL IMAN


Semua rakyat Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas di jemput menghadiri Jamuan Aidil Fitri anjuran PASTI Nurul Iman pada 20hb, Oktober ini bertempat di ruang legar PASTI jam 8.30 malam.

Walaupun ia dibuat pada 1 Zulkaedah tapi jangan bimbang ia tidak berdosa sebab boleh makan macam biasa.

Kami terpaksa tunda tarikh sebenar pada 17hb, Oktober 2009 sebab tetamu khas, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Permatang Pasir, YB Ustaz Saleh Man tidak dapat hadir kerana ada urusan lain di Johor dan Melaka.

Insya Allah pada mesyuarat PASTI yang diadakan baru-baru ini telah menetapkan beberapa juadah itupun tertakluk pada keadaan ekonomi semasa hasil kutipan dari berbagai cabang termasuk sumbangan dari rakyat Guar Kepayang sendiri.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbangkan kewangan bolehlah serahkan pada guru PASTI yang ada di bilik kelas pada hari persekolahan.

Hari itu kami dari 'maiguarkepayang.blogspot.com' juga berhasrat melancarkan blog ini buat pertama kalinya yang akan di rasmikan oleh Pengerusi Surau Guar Kepayang, Cikgu Saad Haji Ahmad dengan disaksikan oleh Adun berkenaan.

Lepas itu nanti, semua warga Guar Kepayang yang berminat menulis ke blog ini bolehlah menghubungi kami supaya orang kampung yang berhijrah ke negeri lain dapat menatap warkah yang terlaku di kampung kesayangan mereka.

Diharap pelancaran ini menjadi kenyataan sebab kami sudah pecahkan tugasan seperti Cikgu Deris akan menjagai ruang 'tip pendidikan', Ejat ruangan 'pengenalan kampung', Tuba ruang 'personaliti yang bertanggungawab memajukan kampung', Pacik bahagian 'ehwal semasa' manakala Dzul pula ditugaskan sebagai jurugambar rasmi untuk blog ini.

KES KECURIAN KABEL TALIPON DI JALAN MASUK KAMPUNG


Apa punya turr.....nya penyenayah atau pencuri kabel talipon sampai wayar di jalan masuk ke Kampung Guar Kepayang, Kepala Batas yang terang benderang pun boleh di curi oleh si pengkhianat yang tidak punya hati perut.


Ramai penduduk terkejut bila talian talipon tiba-tiba tidak beroperasi bermula sebelah pagi. Ada yang marah pada talikom. Tak pasal-pasal Talikom kena balun.

Dengar kata si pencuri buat kerja pada jam 3-4 pagi waktu tu hujan lebat tentunya orang kampung tidur lena.


Sampai Pak Teh Hasan yang tinggal di permulaan masuk ke Kampung pun tak sedar adanya kecurian kabel talipon.

Tapi semuanya selesai kelmarin apabila Talekom telah memperbaikinya. Tapi lain kali penduduk kampung kena lebih berjaga-jaga untuk menangkap si pencuri barulah tahu siapa dia samada orang dalam atau luaran.

Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger | Blue Business Blogger